Tuesday 18 November 2014

Selamatkan Ashram, Hapuskan Chetti

Antara topik paling hangat dalam kalangan masyarakat India masa sekarang adalah perjuangan mempertahankan Vivekananda Ashram di Brickfields, Kuala Lumpur.

Perkembangan isu ini menjadi lebih menarik dan hangat apabila Pemuda MIC turun padang serta menyeru orang ramai turut serta. (Pada waktu itulah juga saya berhenti berkempen kerana tidak mahu “mengganggu” kerja mereka.)

Hal ini segera mengingatkan kita kepada “usaha” Pemuda MIC turun ke Lembah Bujang, Kedah selepas suatu candi dimusnahkan pemaju pada tahun lalu.

Ketua Pemuda MIC Kebangsaan menyerahkan memorandum bertajuk “Isu Perobohan Chandi di Lembah Bujang yang Menjadi Tapak Sejarah Dunia dan Kebangsaan Malaysia” kepada setiausaha sulit kanan Menteri Besar Kedah pada 3 Disember 2013.

Usahlah ditanya apa lagi yang sudah dilakukan selepas sekumpulan pemuda terbabit bergambar beramai-ramai sambil memegang serpihan batu candi dan memuatkan foto di laman Facebook1 Million Likes To Save Bujang Valley”.

Semakan pada 18 November 2014 menunjukkan laman berkenaan disukai (“like”) 22,955 orang sahaja serta sekadar diisi pelbagai iklan dan promosi Malaysian Urban Retreat Festival (Murfast) yang tiada kaitan dengan isu Lembah Bujang.

Pemuda MIC Kebangsaan yang “turun” ke Kedah dalam isu Lembah Bujang memilih untuk tidak melakukan perkara sama dalam kes Kampung Chetti yang terancam akibat projek pembinaan bangunan pencakar langit di Lot 93. Tugas diserahkan kepada Pemuda MIC Melaka.

Semasa kunjungan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke perkampungan warisan itu pada 15 Disember 2013, kami dimaklumkan bahawa presiden dan timbalan presiden MIC sudah ditemui wakil penduduk tetapi tiada sebarang reaksi positif.

Dalam pada itu, apa yang mampu Pemuda MIC Melaka lakukan hanyalah salin dan tampal (copy and paste) kenyataan media Kavyan bertarikh 16 Disember 2013 dan menyerahkannya sebagai memorandum kepada Ketua Menteri Melaka pada 20 Disember 2014.


[Makalah ini ditulis pada 18 November 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 19 November 2014. BACA MAKALAH PENUH DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment