Tuesday 25 November 2014

Saksikan Kemusnahan Kampung Chetti

Pada kali terakhir wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) melawat Kampung Chetti di Gajah Berang, Melaka semasa sambutan ponggal (pesta menuai), penduduk di perkampungan warisan itu meluahkan kesedihan kerana pihak berkuasa seolah-olah sudah meminggirkan mereka. [BACA DI SINI]

Perkara sama juga disaksikan pada 16 November 2014 sewaktu saya bersama-sama Kughan Nadarajah dan Preevinn Singh membuat tinjauan di kampung berkenaan yang dihuni sekumpulan masyarakat yang amat unik.

“Projek pembinaan di Lot 93 memang mereka terus jalankan. Kami, para penduduk di Kampung Chetti, memang tak puas hati. Kami masih membantah dan meminta Kerajaan Negeri Melaka, kalau boleh, batalkan terus projek ini,” kata K. Supramania Pillay selaku Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kuam Chetti Melaka.

Beliau meluahkan rasa kecewa itu semasa kami sama-sama berjalan sekeliling perkampungan warisan itu serta meninjau kerja-kerja pembinaan bangunan pangsapuri 22 tingkat dan hotel 12 tingkat di tanah Lot 93.

Kaum Chetti hanya sebuah kumpulan minoriti yang kurang berada. Sekitar 300 orang daripada 30 keluarga tinggal di sekitar 20 buah rumah di perkampungan warisan ini.

Apa yang menarik, Lot 93 terletak di tengah-tengah dan berkongsi tiga sempadan dengan Kampung Chetti yang diisytiharkan sebagai tapak warisan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Kali pertama kami mendapat tahu mengenai nasib malang yang melanda Kampung Chetti adalah apabila wakil Kavyan dan Projek Dialog membuat kunjungan muhibah ke Kampung Portugis (14 Disember 2013) dan Kampung Chetti (15 Disember 2013).

Hasil maklumat yang diterima selepas berkomunikasi dengan pihak Unesco, ternyata tidak boleh ada sebarang projek pembangunan dibuat pada jarak sekitar 100 meter daripada kawasan yang digazetkan sebagai tapak warisan.

Syarat dan peraturan Unesco juga menetapkan bahawa sebarang bangunan baru yang dibina berhampiran tapak warisan tidak boleh melebihi 4 tingkat. Hal-hal ini mungkin tidak disedari penduduk Kampung Chetti sendiri.

Sebagai tanda solidariti serta usaha membantu memperkasa penduduk tempatan memperjuangkan hak golongan minoriti, Kavyan mengadakan beberapa kunjungan, menganjurkan bengkel khas serta mengaturkan sidang media dan taklimat khas di Kampung Chetti. [BACA DI SINI]

Malangnya, sehingga makalah ini ditulis, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; serta MIC Kebangsaan dan MIC Melaka berpura-pura bagaikan tidak ada sebarang masalah.

Pelbagai janji Idris dan pengerusi MIC Melaka, MS Mahadevan ada dihuraikan dalam makalah bertajuk “Sandiwara politik di Kampung Chetti” (Projek Dialog, 17 Januari 2014) yang ditulis selepas kunjungan terakhir sebelum ini. Janji Idris kononnya mahu mencari dalang yang meluluskan projek itu (The Star, 1 Januari 2014) ternyata hanya wayang di tabir.

[Makalah ini ditulis pada 20 November 2014 dan disiarkan di Projek Dialog pada 21 November 2014. BACA MAKALAH PENUH DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment