Wednesday 1 January 2014

Hargai Kampung Chetti

Saya mengikuti perkembangan isu di Kampung Chetti, Melaka sejak Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan Kunjungan Perpaduan Kavyan ke perkampungan warisan itu pada 15 Disember 2013.
 
Sebagai Setiausaha Kavyan, saya berpeluang menyertai “Solidariti Kampung Chetti” pada 29 Disember 2013 serta berkongsi ilmu dan pengalaman menulis makalah budaya bersama-sama sekumpulan penduduk kaum Chetti.
 
Sejujurnya, saya mendapati bahawa kaum Chetti hidup dalam suasana “kampung” dengan erti kata bahawa kehidupan mereka banyak berlegar sekitar kampung berkenaan, kuil-kuil di sana, aktiviti bersama-sama jiran-tetangga (yang juga saudara-mara) dan persembahan budaya.
 
Sebagai kelompok etnik minoriti yang masih naif, mereka kekurangan ilmu dan pengetahuan apabila masalah besar melanda kampung tradisi mereka dalam bentuk projek mega pembinaan dua kondominium 22 tingkat dan sebuah hotel 12 tingkat di “Lot 93” yang terletak di tengah-tengah kampung berkenaan.
 
Seharian berada di Kampung Chetti menyedarkan saya akan keunikan budaya, kehidupan, tradisi, makanan, pakaian, bahasa, tarian, kesantunan, keramahan dan pelbagai aspek berkaitan kaum Chetti.
 
Segala keunikan ini sesuai dijadikan bahan penulisan makalah budaya. Sayangnya, para penduduk Kampung Chetti kurang bimbingan tentang ilmu penulisan. Sejujurnya, saya bersyukur kerana berpeluang membimbing mereka semasa “Solidariti Kampung Chetti”.
 
Harapan saya adalah agar kaum Chetti sendiri serta golongan penulis di luar sana menunjukkan minat menulis makalah mengenai keunikan Kampung Chetti.
 
Menerusi makalah-makalah itu, kita boleh menyedarkan orang awam tentang khazanah budaya dan warisan bangsa yang akan hilang sekiranya pembangunan di “Lot 93” membawa kemusnahan secara tidak langsung kepada Kampung Chetti.
 
Janganlah kita tunggu sehingga replika Kampung Chetti “dipindahkan” sebagai barangan pameran di muzium dan kaum Chetti kehilangan tempat tinggal sebelum kita mula menyedari hakikat “kemusnahan” yang telah kita relakan dan biarkan berlaku di depan mata.
 
 
(Kughan Nadarajah adalah Setiausaha Kavyan, penulis makalah dan jurutera komputer. Surat ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 1 Januari 2014. Baca juga Kampung Chetti: Legenda yang Hidup.)